PRIMA PROGRAM PERUMAHAN 1 MALAYSIA

Posted by Sabah house on Friday, April 03, 2015 with No comments

PRIMA PROGRAM PERUMAHAN 1 MALAYSIA

Perumahan Rakyat 1Malaysia PR1MA (disebut "prima") ialah satu skim yang bertujuan menggalakkan golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki hartanah kediaman. Kediaman PR1MA terletak di dalam kawasan berkomuniti, mempunyai pelbagai jenis dan saiz, dengan harga antara RM100,000 hingga RM400,000. Berikut adalah maklumat penting mengenai PR1MA yang perlu anda tahu.(PR1MA disasarkan untuk golongan berpendapatan sederhana, untuk yang berpendapatan rendah kerajaan ada memperuntukkan Skim MyHome).




Kriteria kelayakan untuk permohonan PR1MA

- Warganegara Malaysia.

- Berumur 21 tahun dan ke atas semasa permohonan dibuat.

- Individu atau keluarga (suami isteri) dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 – RM7,500.

- Pemohon atau pasangannya tidak memiliki lebih daripada satu hartanah

- Tertakluk pada garis panduan tambahan mengikut negeri. 


Syarat-syarat pemilikan kediaman PR1MA

- Kediaman PR1MA akan diperuntukkan melalui proses pengundian terbuka.

- Pemilihan unit rumah oleh pemilik yang terpilih akan mengikut turutan cabutan undian.

- Rumah PR1MA wajib didiami pemilik.

- Rumah PR1MA tidak boleh dijual atau dipindah milik untuk 10 tahun pertama. 


Proses memohon kediaman PR1MA

1. Buka akaun

Buka akaun online di https://register.pr1ma.my/Account/Register

Aktifkan akaun dalam masa 14 hari dengan mengklik pautan dalam emel yang dihantar oleh PR1MA. Buat kata laluan baru untuk akaun PR1MA anda. 

2. Daftar

Log masuk ke dalam akaun PR1MA menggunakan ID dan kata laluan anda.Isi borang secara online untuk mendaftar, pilih lokasi dan lampirkan semua dokumen yang diperlukan (salinan kad pengenalan dan slip gaji atau penyata bank terkini).

Terima nombor rujukan 12-digit PR1MA anda (contoh: P1212-0000125).Guna nombor ini bila berurusan dengan PR1MA.

Pihak PR1MA akan memaklumkan mengenai lokasi pilihan yang bakal dilancarkan melalui emel dan SMS.

3. Tempah rumah pilihan anda


Layari http://www.pr1ma.my/pr1ma_homes.php. untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pelancaran dan harga kediaman PR1MA.

Sebaik sahaja projek pembangunan PR1MA di lokasi pilihan anda dilancarkan, anda MESTI mengikut langkah-langkah di bawah untuk melayakkan diri bagi cabutan undi:

Log masuk ke akaun PR1MA menggunakan ID pengguna dan kata laluan anda.

Kemas kini maklumat peribadi (jika ada) untuk memohon cabutan undi. 

Pilih dan mohon kediaman pilihan melalui senarai yang disediakan.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan di nombor telefon 03-7962 4374 hari Isnin hingga Jumaat (9:00 pagi – 6:00 petang) atau Sabtu (9:00 pagi – 1:00 petang), atau emel  info@pr1ma.my.